In The News

Risiko kehilangan pelabur

Tanpa status patuh syariah, mana-mana syarikat akan berdepan dengan risiko kemungkinan kehilangan ‘pembeli saham’ terutama pelabur daripada institusi yang besar.

Keadaan ini boleh dilihat seperti mana yang menimpa syarikat telekomunikasi, DiGi.com apabila terkeluar daripada status tersebut. Sahamnya menjunam keparas terendah dalam tempoh 17 bulan pada 24 November lalu pada RM 4.41 selepas Suruhanjaya Securiti (SC) mengeluarkan senarai terkini sekuriti patuh syariah.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie yang juga Penasihat Syariah SC, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, kelemahan lembaga pengarah menyemak kedudukan imbangan tunai menjadi antara punca syarikat-syarikat tersebut terkeluar daripada senarai terbaharu ini.

Jelasnya, untuk memastikan sesebuah syarikat kekal patuh syariah, ketua pegawai kewangan perlu memastikan kunci kira-kira berada di bawah tanda aras ditetapkan iaitu satu pertiga daripada nisbah kecairan yang berada dalam bank-bank kenvensional dan tidak berhutang secara konvensional daripada jumlah asset.

“Keadaan ini tidak harus berlaku di Malaysia kerana kita mempunyai kemudahan perbankan Islam. Bagi syarikat yang terkeluar ini, kesannya amat besar kerana mereka akan kehilangan pelabur institusi Islam yang besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Pesaraan (PWAP), Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

SC mengeluarkan senarai kemas kini sekuriti patuh syariah yang mengiktiraf 686 sekuriti patuh syariah, mewakili 76 peratus daripada 902 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia. Daripada senarai itu, 33 sekuriti baharu diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh syariah manakala 22 sekuriti pula dikeluarkan.

Sementara itu, Ketua Penasihat Pengurusan Bisnes, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Razli Ramli berkata, saham yang berstatus patuh syariah ini membolehkan para pengurus dana sama ada dana konvensional atau dana Islamik menjalankan aktiviti jual beli untuk mengaut keuntungan kepada para pelabur.

“Perlu diingat bahawa sekiranya mana-mana syarikat yang diapung di Bursa Malaysia tidak memastikan saham mereka patuh syariah maka para pengurus dana yang mengurus dana Islamik tidak akan bertransaksi dengan saham-saham mereka kerana saham-saham mereka tidak berstatus syariah.

“Dari segi syariah pula, apabila saham satu-satu syarikat itu diklasifikasi sebagai tidak patuh syariah, ia bukanlah bererti keseluruhan produk atau perkhidmatan mereka itu juga automatik jatuh haram. Yang tidak dibenarkan hanyalah membeli atau memiliki saham mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pihaknya akan memberi tempoh tiga bulan kepada pengurus portfolio untuk menjual saham tersebut sekiranya didapati syarikat berkenaan terkeluar daripada senarai patuh Syariah.

Katanya, pelaburan KWAP dalam patuh Syariah kini 51 peratus manakala selebihnya dalam konvensional dan dana pencen itu mempunyai perancangan untuk meningkatkan pelaburan patuh Syariah kepada 70 peratus.

“Kita memang nak tingkatkan pelaburan patuh Syariah ini tetapi perlu tengok banyak faktor terutama dari segi kecairan modal. Sebab ini akan memudahkan kalau kita nak keluar. Selain itu, kena tengok juga penilaian lain seperti sektor yang bersesuaian, saham syarikat dan kecairan yang bagus.

“Selain itu, perkembangan sektor perbankan Islam juga harus bergerak seiring dengan pasaran yang mempunyai kecairan yang baik dan juga kepelbagaian instrument pelaburan seperti sukuk,” katanya.

 

Source Article: Utusan Malaysia

 

"Your dream of today is essentially you
in the future."

Copyright 2019. Mohd Daud Bakar. All Rights Reserved.

Search